RASAMEMAKSAMENGETAHUI: Buang bayi gejala jahiliah moden

Tuesday, July 6, 2010

Buang bayi gejala jahiliah moden




Kebelakangan ini di malaysia sering terjadi kes buang bayi.Memang kejam…Dahlah buat dosa,bayi yang tak bersalah pun di buang merata-rata.Manusia seperti ini memang lebih hina dari binatang.

APALAH dosa bayi yang tidak berdosa dibuang. Betapa kejam dan tidak berhati perut manusia yang berbuat demikian. Sudahlah melakukan dosa besar dengan berzina kemudian membunuh pula anak hasil hubungan haram berkenaan.
Apa sudah jadi dengan remaja kita tanpa segan silu melakukan perbuatan keji itu? Sanggup membunuh dan yang terbaru sanggup mereka membakar bayi. Tong sampah, kotak, masjid, depan rumah adalah antara tempat yang pernah menjadi pilihan untuk membuang bayi. Lebih menyedihkan lagi, media melaporkan ada bayi yang didagangkan semata-mata mahu mengejar kekayaan duniawi yang sementara ini.

Kes itu dipercayai antara ribuan kes pembuangan bayi hasil hubungan luar nikah yang dilakukan pasangan muda-mudi terlanjur dalam perhubungan mereka. Al-Quran dan sunnah acap kali memperingatkan betapa bernilai hidup setiap makhluk Allah. Janin yang baru berada dalam perut ibu walaupun masih pada proses awal, bahkan binatang dan tumbuhan dilarang untuk dicabut nyawa hidup-hidup, kecuali berdasarkan ketentuan yang dibenarkan Allah.

Manusia kini semakin hilang pertimbangan dan tidak lagi menggunakan kewarasan dalam tindakan. Mereka sanggup berbuat apa saja asalkan kenikmatan daripada perhubungan haram dapat dirasai secara berulang kali tanpa ikatan yang sah.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dia memberikan anak perempuan kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak lelaki kepada sesiapa yang Dia kehendaki atau menganugerahkan kedua-dua jenis lelaki dan perempuan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dia juga menjadikan mandul kepada sesiapa yang dia kehendaki. Sesungguhnya Dialah yang Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa." (Surah asy-Syura ayat 49-50).

Anak adalah anugerah Allah yang tidak ternilai kepada pasangan manusia yang seharusnya lahir daripada ikatan perkahwinan yang suci kerana secara fitrahnya berhajat dan mengharapkan kurniaan itu. Justeru, mereka mempunyai tanggungjawab besar untuk menjaga amanah Allah ini yang mencakupi segala keperluan fizikal, mental dan material.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, "Hak anak ke atas ayahnya ialah memberinya nama yang baik, mengajarnya menulis, mengahwinkannya apabila cukup umur dan mengajarnya al-Quran" (riwayat al-Hakim dan ad-Dailamy).

Realitinya, isu pembuangan dan pembunuhan bayi mengingatkan kita pada zaman sebelum kedatangan Islam iaitu zaman jahiliah. Pada zaman jahiliah mereka membuang bayi perempuan yang dianggap memalukan keluarga mereka. Di manakah perikemanusiaan dan harga diri atau maruah masyarakat sekarang jika bayi yang tidak berdosa yang sepatutnya dibelai dengan kasih sayang dibuang begitu saja. Sedangkan haiwan sayangkan anaknya, inikan pula manusia yang perlu bertanggungjawab untuk memelihara zuriatnya.

Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud, "Setiap suami pemimpin keluarganya. Ia akan diminta bertanggungjawab dan setiap isteri adalah pemimpin atas penghuni rumah bagi anak dan suaminya, dia juga akan diminta untuk bertanggungjawab." (Riwayat Bukhari).

Statistik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman mendapati 65 kes buang bayi dicatat pada 2000 dan meningkat kepada 83 kes, tahun lalu. Selangor mencatatkan angka tertinggi iaitu 22 kes (2000) dan 24 kes (2006). Daripada 83 kes berkenaan, 79 membabitkan kes pembuangan bayi yang baru dilahirkan. Manakala empat kes pembuangan janin.

Hakikatnya, pembuangan dan pembunuhan anak pada zaman jahiliah moden ini bukan kerana takut miskin, tetapi perbuatan keji yang mereka lakukan itu adalah untuk menutup malu yang menimpa mereka selepas melakukan perzinaan.

Pasangan lelaki dan wanita yang selalu dikaitkan dengan isu pembuangan bayi ini ialah mereka yang tertekan dengan keterlanjuran terutama yang melahirkan bayi di luar nikah.

Pada zaman jahiliah, mereka membunuh kerana khuatir anak mereka diperkosa atau berzina. Bagaimanapun, pada zaman jahiliah moden ini anak dibunuh kerana ibunya sendiri diperkosa atau berzina. Kepada dua golongan wanita ini, kembalilah kepada fitrah hidup manusia yang sebenar. Sudahlah terlanjur membuat dosa sehingga hamil tanpa ikatan perkahwinan. Kemudian menambah bilangan dosa dengan menyeksa bayi berkenaan dengan membuangnya bagaikan sampah-sarap.

Firman Allah yang bermaksud: "Tidakkah patut bagi manusia apabila Allah dan Rasul-Nya memutuskan sesuatu ada bagi mereka pilihan lain tentang urusan mereka." (Surah al-Ahzab ayat 36). Kepada remaja, sedarlah hidup pada zaman remaja hanya sementara. Pilihlah kehidupan yang baik. Pilihlah kawan yang baik. Anda sudah cukup bijak memilih. Anda bertanggung jawab ke atas perbuatan anda. Jangan salahkan sesiapa atas tingkah laku anda.

Kepada ibu bapa jika berlaku perkara yang tidak diingini, sama-sama pikul tanggungjawab. Jangan biarkan remaja bersendirian. Sedangkan Nabi maafkan umatnya. Jangan pula ditambah dosa dengan membiarkan remaja melakukan pembuangan bayi yang dilahirkan. Jika anda rasa bayi berkenaan malu dan menyusahkan, anda berhubunglah dengan anggota kebajikan masyarakat yang bertanggungjawab dan memahami masalah anda. Ramai ibu bapa lain yang memerlukan bayi untuk dijadikan anak angkat.


Tangani kes buang bayi

PEMBUANGAN bayi dilakukan oleh wanita hasil perhubungan luar nikah dan dilakukan lantaran si ibu bukan saja tidak mengingini bayi itu sebaliknya tekanan diterima masyarakat berhubung status anak berkenaan.

Pengarah Institusi Pemulihan Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Selangor (Perkid), Ustaz Masridzi Sat, berkata kes berkenaan dikesan dilakukan di kalangan remaja yang terdesak akibat perhubungan bebas antara lelaki dan wanita dan tidak tahu ke mana arah untuk mengadu nasib.
Katanya, perbuatan pembuangan bayi di lakukan sejak zaman Jahiliah lagi, tetapi apabila ia berlaku pada zaman ini, membuktikan penyakit sosial itu sesuatu yang serius dan perlu ditangani segera.
“Hari ini pembuangan bayi dilakukan mengikut dua cara iaitu sopan dan biadap. ‘Sopan’ apabila dilakukan menerusi pengguguran haram di klinik atau tempat tertentu ketika janin masih dalam kandungan dan diletakkan di masjid atau rumah orang, tetapi dalam kes pembuangan yang dikategorikan sebagai biadap pula apabila bayi berkenaan dibuang bagaikan sampah.

“Dalam kes biadap tadi, bayi dijumpai selalunya mengalami kecacatan kerana ada tanda-tanda ia kesan pemakanan ibu yang ingin menggugurkan kandungan itu menerusi pengambilan arak dan sebagainya. Bagaimanapun pembunuhan yang tragis seperti memotong anggota tubuh, membakar dan sebagainya, besar kemungkinan di lakukan oleh ibu di bawah pengaruh dadah menjadikan tindakan diambil itu tidak waras,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Katanya, perbuatan zina hingga melahirkan bayi dilakukan akibat pergaulan bebas. Dan dalam kebanyakan kes didapati di Perkid, 90 peratus daripada remaja mengatakan perbuatan melampau mereka berpunca daripada ibu bapa yang tidak berperanan dalam mendidik anak-anak ke jalan yang diredai Allah.

Perkid, berjuang lebih 15 tahun membantu ibu bapa, guru serta pelbagai lapisan masyarakat dalam usaha menyelamatkan anak-anak umat Islam daripada bencana penyakit sosial dengan menubuhkan lima institusi pemulihan yang terbukti berjaya.
Ia ditubuhkan bukan hanya merawat kes yang parah, sebaliknya turut turun padang menjalankan usaha dakwah dan cegah mungkar di lokasi remaja melakukan maksiat. Ia turut menawarkan program pencegahan khusus untuk membantu pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat mendidik anak atau pelajar melalui beberapa pakej program ditawarkan. Menerusi operasi dakwah dan cegah maksiat pula, ia dilakukan dengan kerjasama pihak berkuasa agama, pihak berkuasa tempatan, badan bukan kerajaan (NGO) Islam dan sebagainya.

Masridzi berkata, filem ‘Anakku Sazali’ arahan Tan Sri P Ramlee, merungkai sikap ibu bapa yang tidak mempunyai ilmu mendidik anak-anak.

Lebih malang apabila anak berkenaan tersilap langkah, ibu bapa yang melahir dan membesarkan itu dianggap tidak memahami serta gagal hingga menjadikan mereka sebegitu.

“Apabila anak-anak bebas melakukan apa saja tanpa batasan, atas alasan kebebasan manusia dan hak remaja, maka mereka akan membesar sebagai remaja yang memberontak untuk mencari keseronokan.

“Remaja yang rosak akhlaknya di sini, kebanyakan disebabkan dalam keluarganya mengamalkan sifat keakuan. Ibu ayah sibuk dengan hal duniawi cenderung memenuhi keinginan anak-anak dengan telefon bimbit, internet di rumah sebagai membuktikan mereka sayangkan dan manjakan anak.

“Sedangkan remaja yang tidak tahu menghargai pemberian itu akan leka dan membina keseronokan sendiri. Saya menyifatkan telefon bimbit sebagai senjata pemusnah diri anak-anak walaupun ramai yang menyatakan ia satu keperluan, tetapi berapa ramai ibu bapa yang mengambil kisah apa yang ada dalam telefon bimbit anak-anak mereka? Hari ini membuat dosa, bukan perlu berada di kelab-kelab malam atau berfoya-foya di luar rumah, sebaliknya ia boleh berlaku di dalam rumah dan hanya di hujung jari,” katanya.

Mengambil satu kes di mana seorang remaja perempuan yang didakwa baik oleh ibu bapanya, tetapi apabila diperiksa dalam telefon bimbitnya, terkandung gambar separuh bogel yang dihantar kepada teman lelakinya sedangkan sebelum itu ibu bapanya bukan saja membenarkannya menggunakan telefon bimbit, tetapi tidak mengawal atau memeriksa kandungannya.

“Malangnya teman lelakinya itu menggertak meletakkan gambar itu di ‘ You Tube’, remaja ini sanggup menjadi hamba seks teman lelakinya atas alasan takut diketahui ibu bapa. Perhubungan ini boleh menjurus berlaku kehamilan dan apabila berlaku, kandungan itu besar kemungkinan akan dibuang sama ada menerusi pengguguran haram.

“Sekiranya kandungan tidak berjaya digugurkan, maka bayi yang lahir itu akan dibuang dan jangan terkejut sekiranya kehamilan dan pembuangan bayi boleh dilakukan lebih daripada sekali sekiranya ia tidak dibendung daripada awal,” katanya.

Mengumpamakan didikan anak-anak bagaikan bermain layang-layang, ibu bapa boleh melepaskan anak-anak terbang tinggi ditiup angin, tetapi benangnya tetap berada di tangan.

Malangnya dalam setiap kes pembuangan bayi, penjenayah itu tidak boleh dikenal pasti justeru pendekatan baru yang lebih canggih boleh diambil seperti menerusi DNA. Perkid boleh dihubungi di talian 03-90213730 atau 03-4280 0730.

FAKTA: Apa yang perlu anda tahu mengenai pembuangan bayi
Pembuangan bayi adalah satu jenayah. Ia terjadi akibat kehamilan tidak diingini. Ramai remaja yang mengandung di luar nikah terpaksa membuang bayi mereka terdesak, akibat malu dan takut akan akibat yang bakal ditanggung.
Punca :
• Kehamilan tidak diingini
• Perhubungan seks rambang dan luar nikah

Kesan :
• Sudut Perubatan
o Kadar kematian bayi lebih tinggi disebabkan penjagaan perubatan yang tidak sempurna
o Kesihatan ibu yang terjejas akibat kehilangan darah; jangkitan kuman; kecederaan sewaktu bersalin; psikologi dan sosial.
• Sudut psikologi dan sosial
o Murung
o Hilang keyakinan diri
o Rasa bersalah
o Resah atau gelisah
o Masalah emosi dan hubungan interpersonal
• Implikasi undang-undang pembuangan dan pembunuhan bayi.
• Putus hubungan kekeluargaan dan rakan-rakan.

Bagaimana mengelakkan pembuangan bayi?
Elakkan kehamilan jika anda belum:
• Berkahwin
• Bersedia membesarkan anak
• Bersedia membina keluarga.

Semua agama utama di Malaysia:
• Melarang seks sebelum kahwin
• Taat kepada ajaran agama

Elakkan seks sebelum kahwin:
• Anda bertanggungjawab ke atas hidup anda sendiri.
• Lindungi kesihatan dan emosi anda tanpa seks sebelum kahwin.
• Jika pasangan yang benar-benar menyayangi dan menghormati anda, dia tidak akan meminta seks sebelum kahwin.
• Selalu tanam dalam fikiran, badan anda adalah tanggungjawab anda, justeru jagalah badan anda dengan baik.
• Elakkan membaca atau menonton bahan-bahan lucah.
• Babitkan diri dalam aktiviti yang berfaedah seperti sukan, bersenam, aktiviti kebudayaan dan kerja-kerja sukarela.

Sekiranya anda sudah melakukan hubungan seks sebelum kahwin:
• Fikirkanlah kesan dan akibatnya dengan teliti dan mendalam.
• Dapatkan bantuan jika anda hamil.
• Anda boleh mengatur supaya bayi anda dijadikan anak angkat.

Ketahuilah bahawa anda tidak keseorangan:
• Terdapat pelbagai agensi yang boleh membantu anda.
• Pastikan anda tahu mengenai implikasi undang-undang pembuangan dan pembunuhan bayi.

Di mana anda boleh mendapatkan bantuan jika anda hamil? Dapatkan bantuan dari:
• Ibu bapa sekiranya anda boleh berbincang dengan mereka.
• Kaunselor sekolah.
• Guru sekolah.
• Doktor dan anggota kesihatan di klinik kesihatan atau hospital yang berdekatan.
• Pegawai kebajikan di Jabatan Kebajikan Masyarakat yang berdekatan.

Implikasi undang-undang pembuangan dan pembunuhan bayi: Di bawah Akta Kanak-kanak 2001 (Child Act) - Akta 611:
• Seksyen 17 - Anak yang dibuang akan dilindungi dan dijaga.
• Seksyen 46 - Ibu bapa boleh mendapatkan bantuan atau nasihat mengenai anak mereka yang tidak dapat dikawal dengan baik. Anak ini akan ditahan di tempat yang dibenarkan di bawah kuasa mahkamah.

Di dalam rang Undang-undang Jenayah Malaysia penal code:
• Sesiapa yang membuang bayi akan dijatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...