RASAMEMAKSAMENGETAHUI: MENAMAKAN ANAK-ANAK

Tuesday, September 7, 2010

MENAMAKAN ANAK-ANAK

Menamakan anak dengan nama yang baik merupakan salah satu tanggungjawab ibu bapa. Malahan saat menamakan anak itu adalah saat yang amat membanggakan setiap ibu bapa. Justeru, pelbagai cara digunakan untuk memilih nama yang dirasakan terbaik untuk si anak dengan harapan anak tersebut akan membesar dengan perasaan bangga terhadap nama yang dianugerahkan kepadanya.

Ada ibu bapa yang mengolah nama gabungan mereka sendiri untuk menjadi nama anak. Ada juga nama dipilih berdasarkan ahli keluarga yang dihormati, tokoh-tokoh ataupun nama nabi dan rasul. Tidak kurang juga ibu bapa yang memilih nama menggunakan makna-makna yang mulia dari bahasa Arab. Walau apa juga nama yang dipilih, yang pasti ibu bapa anak tersebut mengharapkan anak mereka membesar sebagai insan yang terbaik.

Seperti ibu bapa yang lain, saya dan suami juga mempunyai sistem sendiri untuk menamakan anak. Dari saat memilih nama anak yang sulung kami bersetuju menggunakan nama surah di dalam Al-Qur'an untuk menamakan anak-anak kami. Memandangkan kemungkinan kami tidak memiliki anak yang ramai dan saya pula amat gemar menamakan anak, setiap anak akan memiliki dua nama.

Lantas anak yang pertama kami namakan Fatihah Humairaa. Fatihah merupakan surah pertama di dalam Al-Qur'an manakala Humairaa pula adalah nama gelaran Rasulullah SAW untu Aishah, isteri kesayangan baginda. Nama Humairaa digandingkan dengan harapan puteri kami akan mewarisi kebijaksanaan Saiyiditina Aishah r.ha.

Puteri kedua pula kami namakan Maryam Insyirah. Kedua-dua nama tersebut memang merupakan surah-surah yang terdapat di dalam Al-Qur'an tetapi Maryam dipilih adalah dengan harapan dia akan menjadi seorang wanita yang cekal dan tabah seperti Siti Maryam.

Mungkin kami tidak mampu mewariskan harta dan kemewahan untuk anak-anak tetapi kami berharap memang mereka akan membesar dengan nama yang boleh membangga kan mereka. Insya'Allah.
Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...