Thursday, July 8, 2010
Hadiah perpisahan buat Sepanyol
Tandukan kencang yang membawa Sepanyol ke final Piala Dunia buat kali pertama akan sentiasa dikenang sebagai hadiah perpisahan paling sempurna Carles Puyol, tatkala pertahanan veteran itu membayangkan persaraan aksi antarabangsa selepas temasya ini.
Puyol menjaringkan gol menerusi tandukan padu pada minit ke-73 dalam perlawanan separuh akhir awal pagi semalam, untuk memastikan kemenangan 1-0 ke atas Jerman.
Mencecah usia 32 tahun, Puyol berkata dia akan memutuskan mengenai masa depannya bersama pasukan kebangsaan selepas perlawanan akhir bertemu Belanda, awal pagi Isnin ini.
Sekiranya bek tengah Barcelona itu memutuskan untuk bersara, ia pasti dilakukan dengan penuh bergaya tatkala dia menjaringkan hanya gol ketiganya dalam 89 penampilan buat Sepanyol.
Selepas segala-galanya diberikan kepada pasukan kebangsaan, dia berhak mendapatkan jaringan cantik seperti itu, kata gandingan pertahanannya, Joan Capdevila. Kepantasan yang dibawa bersamanya cukup menakjubkan dan tiada hadiah yang lebih baik selain meletakkan kami di final.
Seperti biasa, Puyol hanya mendiamkan diri selepas perlawanan di Stadium Moses Mabhida, di Durban itu, membiarkan rakan sepasukan memberitahu ia mungkin gol paling penting buat pemain yang sudah mengumpul kejayaan di peringkat kelab dan kejuaraan Kejohanan Eropah 2008.
Mari kita berdoa dia menjaringkan gol sekali lagi dan memberikan kami satu lagi kemenangan, kata penyerang David Villa, penjaring terbaik kejohanan dengan lima gol.
Rambut panjang ala gondrong Puyol dan corak permainan fizikalnya memberikan dia jolokan Tarzan tetapi penyerang lawan tidak langsung tersengeh apabila berdepan pemain yang membimbing Barcelona merangkul takhta Liga Juara-juara Eropah dan La Liga itu sepanjang 11 tahun kerjayanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment